Kerjaya Mohd Shafie Naswip

Pada awal pembabitan lakonannya, Syafie hanya menemani adiknya saudaranya untuk menjalani uji bakat tetapi akhirnya beliau juga diuji bakat oleh Yasmin Ahmad bagi membawakan watak sebagai Mukhsin. Syafie turut menyertai rombongan filem Mukhsin ke Festival Filem Antarabangsa Tokyo, Jepun pada 2006. Syafie menganggap Yasmin sebagai "Mak" dan kematiannya telah menyebabkan beliau terasa kehilangan yang sangat besar dalam hidupnya sehingga suatu ketika, beliau pernah terfikir untuk bersara.[2]

Syafie telah berlakon dalam beberapa buah filem dan drama TV. Antara lakonannya yang paling diingati dan dikritik positif adalah menerusi Talentime dan Songlap sehingga menyebabkan beliau meraih dua anugerah pembantu lelaki terbaik masing-masing dalam FFM ke-22 dan FFM ke-25. Beliau mencatatkan sejarah sebagai pelakon termuda memenangi anugerah lakonan di Festival Filem Malaysia dan Anugerah Skrin untuk pelakon lelaki terbaik bagi watak Ilham di dalam drama Ilham Suci tulisan Nor Faznita Md Nor pada usia 16 tahun.

Pada tahun 2017, Syafie muncul dalam dua buah telefilem khas raya yang akan bersiaran di TV3 iaitu telefilem Ali pada 26 Jun manakala Surat Panjang Untuk Mak pada 28 Jun.